
Pada Jumaat, SPRM membongkar sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen dan menahan enam individu dalam operasi khas di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah pada 9 Feb lalu.
Menurut sumber, lelaki berusia 35 tahun itu yang juga seorang pengarah urusan agensi pelancongan di Selangor ditahan di ibu pejabat SPRM pada 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.
Sumber berkata, lelaki itu dipercayai memberi suapan kepada dua individu yang ditahan reman sebelum ini sebagai balasan membantu ejen agensi pelancongannya mendapatkan tiket penerbangan umrah.
“SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM160,000, telefon bimbit dan beberapa komputer riba yang digunakan lelaki terbabit. Proses pembekuan akaun-akaun tertentu terutamanya akaun pelaburan amanah saham yang melibatkan isteri, bekas isteri serta anak-anak mereka turut dijalankan,” kata sumber.
Menurut sumber, siasatan SPRM menjurus kepada salah laku jenayah rasuah dalam kalangan pegawai syarikat yang merupakan ejen tunggal kepada syarikat penerbangan luar negara.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur salah laku oleh syarikat (ejen tunggal) itu namun beberapa pegawainya memanipulasi penjualan tiket melalui ‘komisen’ yang diminta daripada syarikat pelancongan lain untuk kepentingan sendiri.
“Siasatan juga mendapati syarikat ejen tunggal ini menyempurnakan penjualan tiket berdasarkan kepada kuota yang dipersetujui dan ditetapkan oleh syarikat penerbangan luar negara berkaitan.
“Justeru, tiada timbul kebimbangan terhadap pengurangan jumlah kuota sedia ada yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada syarikat penerbangan luar negara tersebut kerana syarikat ejen tunggal sentiasa berjaya memenuhi kuota tiket seperti yang diperuntuk,” katanya.
Kata sumber, SPRM memanggil beberapa saksi daripada syarikat berkaitan dan tidak menolak kemungkinan memanggil lebih ramai lagi bagi membantu siasatan.
Sumber berkata, perintah reman empat hari terhadap lelaki itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin hari ini.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Tan Kang Sai mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.