Koperal polis didakwa seludup 29 migran Myanmar

Koperal polis didakwa seludup 29 migran Myanmar

Dia didakwa menyeludup semua migran itu di dua lokasi berbeza pada 16 Jan lepas.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dakwaan menyeludup 29 migran warga Myanmar. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melakukan penyeludupan 29 migran warga Myanmar Januari lepas.

Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38, didakwa menyeludup semua migran berusia 19 hingga 47 tahun itu di dua lokasi berbeza pada 16 Jan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Shaifful, didakwa menyeludup tujuh lelaki dan enam wanita warga Myanmar di dalam sebuah motovan jenis Daihatsu Gran Max di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Tunjong pada kira-kira 1.30 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, Shaifful didapati menyeludup 15 lelaki dan seorang migran wanita warga Myanmar di sebuah rumah inap desa, Jalan Pintu Geng Hulu, pada kira-kira 9.45 pagi.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran yang merupakan kesalahan keselamatan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).

Jika sabit kesalahan, anggota polis itu boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan disebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 22 Mac sebagai tarikh deposisi (keterangan migran).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.