
Beliau berkata, tidak ramai tahu Turki memberikan bantuan dan pertolongan secara langsung dan tidak langsung kepada Malaysia, termasuk kepada syarikat-syarikat kita di negara itu “yang mencecah ratusan juta ringgit”.
“Ini jarang berlaku dalam hubungan dua hala kita dengan negara-negara lain,” katanya kepada Ahli Parlimen, menjelaskan kesungguhan Putrajaya membantu Ankara sehingga dikatakan “berlebihan”.
Selain itu, Anwar berkata kerajaan turut mengambil kira skala besar bencana itu.
“Yang jarang berlaku sebelum ini melainkan semasa tsunami yang melibatkan Acheh,” katanya.
Taklimat hari ini menyusuli kunjungannya ke Turki kelmarin, atas permintaan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Turki dan Syria dilanda gempa bumi dengan magnitud 7.8 pada skala Richter pada Isnin lepas, dengan kesan gegaran dirasai sehingga ke Lubnan.
Angka kematian akibat gempa bumi tersebut dilaporkan menjangkau lebih 35,000 setakat kelmarin.
Pasukan penyelamat Malaysia antara yang pertama tiba Turki bagi membantu misi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi. Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri turut menyelaras bantuan kemanusian dari Malaysia ke Turki, termasuk daripada NGO.