Perkhidmatan kereta api percuma bagi OKU, pelajar

Perkhidmatan kereta api percuma bagi OKU, pelajar

Menteri pengangkutan berkata perkhidmatan percuma itu berkuatkuasa semalam.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook melancarkan pas perjalanan tanpa had ‘MyRailLife’ bagi pelajar sekolah dan OKU di KL Sentral.
KUALA LUMPUR:
Pas perjalanan tanpa had diberikan percuma kepada pelajar sekolah dan orang kurang upaya (OKU) untuk menggunakan perkhidmatan kereta api mulai semalam.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata pas dikenali “MyRailLife” itu boleh dinikmati warganegara iaitu pelajar sekolah dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6 dan golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pelajar dapat ke sekolah percuma. Ibu bapa tak perlu tanggung kos pengangkutan.

“Jika seorang OKU menetap di Alor Setar (sebelum ini) dan kerja di Butterworth dengan menaiki kereta api – pergi dan balik memperuntukkan kos RM7.20 sehari dan RM180 sebulan – dengan pas ini jimat RM180 sebulan,” katanya pada sidang media di KL Sentral.

Loke berkata pas percuma itu dijangka mengurangkan kos pengangkutan kepada 500,000 pelajar sekolah dan OKU setahun.

Katanya, “MyRailLife” boleh digunakan tanpa had bagi perkhidmatan KTM komuter sektor Lembah Klang dan utara Semenanjung, serta Shuttle Timuran

“Bagi KTM komuter sektor Lembah Klang ia terdiri laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang, dan laluan Pelaburan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang.

“Perkhidmatan komuter sektor utara laluannya adalah Padang Rengas -Butterworth-Padang Rengas dan laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth.

“Perkhidmatan tren KTM Shuttle Timuran ialah bagi sektor laluan Gemas-Tumpat-Gemas,” katanya.

Beliau berkata, pelajar sekolah dan OKU boleh mula mendaftar “MyRailLife” melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang KTMB atau di kaunter KTMB berhampiran.

“Mereka boleh mengemukakan salinan kad pengenalan atau sijil lahir untuk permohonan pas percuma itu,” katanya.

Loke berkata pihaknya sedang meneliti cadangan memberikan pas percuma kepada OKU dan pelajar bagi perkhidmatan awam selain kereta api.

Dalam pada itu, warga emas yang menggunakan perkhidmatan awam kekal diberikan potongan 50% potongan, katanya.

Sementara itu, Loke berkata beliau mengambil kira kritikan dan pandangan bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong berhubung risiko data peribadi jutaan rakyat terdedah, susulan pelancaran aplikasi MyJPJ baru-baru ini.

Beliau berkata sistem itu akan sentiasa ditambah baik.

“Kementerian Pengangkutan akan terus memantapkan pendigitalan dan sudah tentu akan tutup kelemahan serta tambah baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.