
Siti Bainun, 31, memaklumkan mahkamah dia melantik Mohammad Farhan Maaruf yang sebelum ini pernah mewakilinya dalam prosiding perbicaraan kes itu di peringkat pendakwaan.
“Saya juga maklumkan kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berhubung pelantikan semula peguam (lama) saya,” katanya pada prosiding membela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi.
Disoal Izralizam sejak bila tertuduh mahu mengambil semula peguam lama mewakilinya sebelum ini, Siti Bainun menjawab, “Saya memang menunggu peguam lama dan masih berhubung dengan peguam lama membantu saya”.
Farhan kemudian mengesahkan perkara itu dan memberitahu mahkamah beliau dilantik oleh Siti Bainun semalam.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memohon mahkamah merekodkan kronologi penarikan diri peguam mewakili Siti Bainun dalam kes tersebut.
“Saya mohon mahkamah rekodkan Mohammad Farhan telah menarik diri pada 13 Jan lalu, diikuti peguam Nur Ellena Mohamed Razif dan Asiah Abd Jalil. Peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor telah membuat permohonan penarikan diri secara terbuka di mahkamah dan Nurul Hafidzah Hassan pula membuat permohonan sama secara bertulis,” katanya.
Pada prosiding sebelum ini, kelima-lima peguam itu daripada firma guaman berbeza, menarik diri mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.
Pada 26 Jan lalu, Siti Bainun diarah memberi keterangan membela diri walaupun beliau tidak diwakili peguam selepas Izralizam memutuskan prosiding bela diri itu perlu diteruskan agar tidak mengganggu perjalanan kes.
Siti Bainun diperintahkan membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam masih diteruskan.