
Pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, bekas perdana menteri itu berkata setiap parti memerlukan dana untuk beroperasi dan ini termasuk dana daripada korporat.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga menerima dana daripada penyokong, dan beliau mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.
“Kami sebenarnya telah jangka ini akan dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk lumpuhkan Bersatu selepas melihat sokongan yang semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Muhyiddin, yang juga pengerusi PN, berkata perlembagaan Bersatu membenarkan dana dikutip daripada orang ramai, termasuk individu yang menyokong perjuangannya.
“Ini termasuk dana daripada penyokong korporat,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini, tiada undang-undang khusus mengenai pembiayaan politik digubal di Malaysia.
Muhyiddin mempersoalkan mengapa parti dalam PH dan BN tidak mengalami nasib yang sama, memandangkan mereka turut menerima dana daripada orang ramai, termasuk ahli perniagaan.
Beliau berkata, isu ini dimainkan oleh kerajaan perpaduan kerana ia dilihat “gagal menyelesaikan masalah rakyat dan akan ditolak pada PRN akan datang”.
Dakwanya, kerajaan PH-BN akan dihukum pada PRN atas “niat jahat” memburu pihak-pihak tertentu.
Muhyiddin berkata beliau sedih apabila Bersatu diheret ke mahkamah, dan berharap Wan Saiful dapat perbicaraan yang adil.
Beliau menasihatkan ahli Bersatu agar tidak mengambil sebarang tindakan drastik yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Pemimpin parti telah pun mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran undang-undang,” katanya.