RM120,000 bayaran balik perbelanjaan pilihan raya, kata Syed Saddiq

RM120,000 bayaran balik perbelanjaan pilihan raya, kata Syed Saddiq

Bekas ketua Pemuda Bersatu itu berkata, beliau mendahulukan RM170,000 daripada wang simpanannya dalam usaha memenangi kerusi Parlimen Muar.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu RM120,000 yang dikumpul dalam dua aktiviti kutipan dana dibayar kepada ketua Pemuda Bersatu ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai bayaran balik untuk perbelanjaan ketika kempen pilihan raya umum 2018.

Syed Saddiq berkata, beliau mendahulukan RM170,000 daripada wang simpanannya dalam usaha memenangi kerusi Parlimen Muar di Johor.

Dalam pembelaannya semalam, Syed Saddiq berkata, RM30,000 dikumpul di Muar pada 7 April 2018 dan RM90,000 dalam satu majlis di sebuah hotel di Ampang, Selangor keesokannya.

“Majlis kutipan dana itu dilakukan atas kapasiti peribadi saya kerana Bersatu dibatalkan pendaftaran sebelum PRU pada Mei 2018,” katanya ketika disoal balas peguam Gobind Singh Deo.

Sejumlah RM120,000 didepositkan ke akaun bank Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) milik Penolong Bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, Rafiq Hakim Razali.

Ia kemudiannya dipindahkan secara berperingkat ke akaun peribadi Syed Saddiq, di mana kira-kira RM100,000 dipindahkan ke akaun Amanah Saham Bumiputeranya (ASB).

Gobind: Pendakwaan berpendirian RM120,000 dan RM170,000 adalah (dua perkara) berasingan. Boleh anda jelaskan?

Syed Saddiq: Saya mendahulukan wang saya sendiri sebanyak RM170,000 untuk kempen pilihan raya. Saya meminta Rafiq memindahkan RM120,000 kerana itu adalah wang yang dikumpul untuk menampung perbelanjaan pilihan raya.

Katanya, beliau tidak perlu memberikan butiran perbelanjaan kerana Rafiq yang bukannya ahli jawatankuasa kutipan dana mahupun membantunya ketika kempen pilihan raya.

Syed Saddiq berkata, beliau tidak wajib memaklumkan sesiapa apabila memindahkan RM100,000 dari daripada akaun banknya ke akaun ASB miliknya.

Presiden Muda itu turut menafikan melakukan sebarang kesalahan apabila RM1 juta dikeluarkan daripada akaun bank Pemuda Bersatu untuk membantu ahlinya di seluruh negara dalam program Covid-19, serta aktiviti Ramadan dan Hari Raya pada 2020.

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Stesen Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun bank milik ABBE untuk dirinya dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pengubahan wang membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, yang dipercayai hasil aktiviti haram, dengan memindahkannya daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya, di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di depan Hakim Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.