
Nurul Syazwani, yang menyertai Bersatu pada 2023, berkata beliau kecewa dengan pemecatan Hamzah, yang dianggapnya sebagai bapa dalam parti.
Adun Permatang itu juga berkata beliau menyertai Bersatu kerana Hamzah.
“Peluang yang saya dapat pada hari ini juga adalah kerana beliau,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Dalam hantaran itu, Nurul Syazwani juga memuat naik gambar sejambak bunga yang beliau terima daripada Hamzah pada ulang tahun kelahirannya.
Tambah Nurul Syazwani, beliau terasa dengan dengan perkara yang berlaku dalam Bersatu.
“Namun sebagai ahli parti saya hormati dan terpaksa akur dengan keputusan yang diambil dan dilaksanakan. Kecewa itu ada, namun prinsip dan maruah tetap saya pegang,” katanya.
Hamzah dipecat daripada parti Jumat lalu di tengah-tengah krisis kepimpinan antara beliau dan presiden parti Muhyiddin Yassin.
Lembaga disiplin parti berkata Hamzah melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti. Beliau mempunyai 14 hari untuk merayu keputusan itu.
Keesokan harinya, Noh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai MPT Bersatu.
Hamzah antara 17 pemimpin parti yang dipecat. Mereka yang dipecat termasuk Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob.
Dalam satu video, Noh meluahkan kekecewaan kerana lembaga disiplin parti meneruskan tindakan terhadap pemimpin terbabit walaupun mesyuarat MPT pada 12 Jan memutuskan untuk menangguhkan semua tindakan disiplin terhadap mereka.
Noh, bekas ketua Umno Selangor, dilantik sebagai MPT Bersatu bersama Danni Rais, anak kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim, awal tahun lalu.