Diskaun PTPTN sehingga 20% bermula 1 Mac

Diskaun PTPTN sehingga 20% bermula 1 Mac

Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20%, selama tiga bulan bermula 1 Mac.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah, untuk tempoh enam bulan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersetuju memberi diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20% kepada peminjam, selama tiga bulan bermula 1 Mac.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah, untuk tempoh enam bulan.

“Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac depan,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 baharu di Dewan Rakyat petang tadi.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Petronas, DRB Hicom, Sunway, MRCB, dan bank-bank akan mengambil alih program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai usaha memperkasa kerjasama antara awam dan swasta.

Anwar berkata Petronas akan menerajui program latihan TVET dalam kluster minyak dan gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit, dan Miri; DRB Hicom bagi kluster automotif di Pekan; Sunway bagi kluster perhotelan, dan MRCB bagi kluster pembinaan.

Katanya, bank-bank tertentu juga akan menerajui program latihan bagi kluster perkhidmatan kewangan.

“Program latihan TVET menelan belanja RM6.7 bilion melibatkan 500 institusi. Mutu latihannya dipertikai walaupun 90% graduan TVET memperoleh pekerjaan tetapi 90% mereka meraih gaji yang rendah hanya sekitar RM2,000 sebulan.

“Justeru, kebijakan baharu seperti mana yang dilakukan Penang Skills Development Centre (PSDC) yang memastikan syarikat Intel, Motorola, dan Inari yang mengemudi PSDC ini dan menganjurkan latihan berkesan memenuhi keperluan syarikat berkenaan,” katanya.

Anwar berkata suatu pendekatan akan diperkenalkan supaya pusat latihan TVET diambil alih syarikat berkaitan yang mampu mengendali program.

Dengan pembaharuan ini, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkukuh dengan dana tambahan RM50 juta untuk 8,000 pelatih, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.