Roger Ng mohon belas ihsan mahkamah AS berkait kes 1MDB

Roger Ng mohon belas ihsan mahkamah AS berkait kes 1MDB

Bekas pegawai bank Goldman Sachs itu memohon mahkamah menjatuhi tempoh hukuman penjara yang sudah dijalaninya di Malaysia.

Ketika Roger Ng menjalani pemenjaraan di Malaysia, beliau mengalami sakit dan menderita PTSD, kata peguamnya. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, yang disabit membantu menggelapkan dana 1MDB, merayu kepada Mahkamah New York, semalam, agar tidak mengenakan hukuman pemenjaraan lebih panjang.

Menjelang pendengaran hukuman pada 9 Mac, peguam Ng memohon mahkamah memberi belas ihsan dan menjatuhi tempoh hukuman penjara seperti mana dijalani anak guamnya di Malaysia.

Ng, bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, menjalani enam bulan pemenjaraan di Malaysia sebelum ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat, pada 1 Nov 2018, menurut dokumen mahkamah.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar USD2.9 bilion dan unitnya di Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah, bagi menyelesaikan siasatan kecurian berbilion dolar 1MDB, termasuk pembayaran rasuah bagi mendapatkan perniagaan untuk bank di Wall Street.

Juri Persekutuan di Brooklyn menyabitkan Ng pada April tahun lalu kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah dan melakukan pengubahan wang. Ng berdepan penjara sehingga 30 tahun.

“Dilucutkan maruahnya di penjara Malaysia, beliau mengalami sakit, ketakutan, bersendiri dan tidak punya harapan, dan masih menderita kesan berpanjangan PTSD (post-traumatic stress disorder),” kata peguam Ng.

Mereka memohon kepada hakim membenarkannya kembali ke Malaysia, di mana beliau masih berdepan tuduhan jenayah berkaitan kecurian besar melibatkan dana 1MDB.

Reuters tidak dapat menghubungi pegawai penjara Malaysia untuk ulasan lanjut.

Pihak pendakwa raya berkata, Ng membantu bekas bosnya, Tim Leissner, menggelapkan wang daripada dana tersebut, melakukan pengubahan wang dan merasuah pegawai bagi mendapatkan perniagaan untuk Goldman.

“Peranan Ng dalam kesalahan itu adalah minima, dan satu-satunya dakwaan bertentangan terhadapnya dibuat oleh Tim Leissner, yang sangat tidak boleh dipercayai,” kata pembelaan dalam dokumen mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.