
“Ramai menteri Singapura mengenali rakan sejawat mereka di Malaysia sehingga selama beberapa dekad, dan kami sentiasa berhubung,” katanya semasa perbahasan jawatankuasa perbekalan di Parlimen pada Isnin.
Menurut Bernama, Balakrishnan berkata demikian sebagai jawapan balas kepada soalan yang dikemukakan dua Ahli Parlimen (MP) mengenai hubungan Singapura dengan Malaysia.
“Pada akhir Januari, kami menyambut kedatangan PM Anwar dalam lawatan sulungnya ke Singapura. Lawatan itu membuahkan hasil,” katanya.
Semasa lawatan itu, kedua-dua negara menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MOU) G-to-G berkaitan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital dan Lestari, serta MOU mengenai Perlindungan Data Peribadi, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital.
“Kami mengalu-alukan PM Anwar untuk berkunjung semula ke Singapura pada akhir tahun ini bagi menghadiri Pemukiman Pemimpin Ke-10,” kata Balakrishnan.
Menteri itu menegaskan bahawa “jalinan erat dengan Malaysia disokong oleh hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh dan pertukaran peringkat tinggi yang kerap.” Bagaimanapun, katanya, seperti mana-mana persahabatan, masalah akan timbul dari semasa ke semasa.
Memetik contoh, Balakrishnan berkata walaupun isu kedaulatan ke atas Pedra Branca telah diselesaikan secara muktamad, Malaysia telah menimbulkan bantahan terhadap kerja-kerja pembangunan Singapura di Pedra Branca (Batu Puteh).
“Kerja-kerja ini perlu demi meningkatkan keselamatan maritim serta meningkatkan keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan itu. Kerja-kerja itu juga akan memastikan bahawa Pedra Branca dilindungi daripada ancaman kenaikan paras laut,” katanya.
Menurutnya, pada Disember 2022, Singapura mengemukakan cadangan kepada Malaysia untuk menyelesaikan isu berkenaan dan meneruskan kerja-kerja pembangunan di kawasan itu.
“Selepas itu, kami bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk diberi masa mempertimbangkan penjelasan dan cadangan kami,” katanya.
Pada masa ini, menteri itu memaklumkan bahawa kerja pembangunan dihentikan sementara kerana musim tengkujuh.