Jangan terima Pejuang, pemimpin Bersatu beritahu PN

Jangan terima Pejuang, pemimpin Bersatu beritahu PN

Faiz Na’aman berkata permohonan Pejuang menjadi komponen PN dianggap 'terdesak, oportunis dan tiada prinsip' susulan kalah teruk pada PRU15.

Faiz Na’aman (kiri) berkata sebelum PRU15 Mukhriz Mahathir menolak cadangannya untuk Pejuang dan PN bekerjasama.
PETALING JAYA:
Pemimpin Bersatu membantah permohonan Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), sambil “menyerang” Mukhriz Mahathir selaku presiden parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman, berkata beliau secara peribadi menolak penyertaan Pejuang dalam PN yang dianggap tindakan “terdesak, oportunis dan tiada prinsip” susulan kalah teruk pada PRU15.

Semua calon Pejuang, termasuk Mukhriz dan bekas pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad hilang deposit pada PRU15.

Dalam hantaran di Facebook, Faiz berkata, beliau ada menghantar mesej kepada Mukhriz sebelum PRU15 mengajak bersama PN berdepan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, beliau berkata jawapan Mukhriz menimbulkan kemarahannya selepas bekas menteri besar Kedah itu membalas: “Sekarang baru nak fikir ego”.

Faiz juga ada memuat naik tangkap layar perbualannya bersama Mukhriz dalam hantaran itu.

Terdahulu, Mukhriz berkata, Majlis Eksekutif Pusat Pejuang memutuskan parti itu memohon menyertai gabungan diterajui Muhyiddin Yassin.

Katanya, tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya semata-mata hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi ditandingi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, berkata beliau belum menerima apa-apa maklumat mengenai permohonan Pejuang menyertai PN.

“Sudah pasti ia akan dibincangkan dengan parti komponen lain dan PN akan membuat keputusan,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.