
Pengguna Twitter, Shahbudin Husin yang berkongsi video berkenaan berkata, individu dalam video itu adalah exco Terengganu yang juga Adun Chukai, Hanafiah Mat.
“YB Hanafiah Mat, exco Terengganu, dia cuba nak perlekeh Menu Rahmah, tapi sebenarnya telah menghina rezeki daripada Tuhan,” kata Shahbudin di Twitter.
Turut berkongsi video sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ramai orang susah dan tidak mampu mendapat manfaat daripada Menu Rahmah.
“Bukan semua orang bergaji besar seperti YB exco dan boleh makan di tempat yang mewah. Kalau tidak setuju pun, tiada keperluan merendahkan martabat orang susah dengan meremehkan makanan mereka.”
Dalam video tular itu, Hanafiah dilihat mencurah minumannya ke nasi atas pinggan kerana makanan itu tidak berkuah.
“Ikan seekor, sayur ada dua, kuah tak ada pula, ini kuah dia aku letak. (sambil menuangkan air ke pinggan). Jadilah, baru rasa nasi. Bismillahirrahmanirrahim,” katanya dalam video berkenaan.
Tindakan Hanafiah itu dikritik pengguna media sosial, Riesna Zasly yang menyifatkan wakil rakyat itu riak kerana menghina makanan dan rezeki Allah.
“Semasa saya menjadi pelajar, saya makan nasi dengan kuah sahaja untuk teruskan hidup semasa belajar. Rezeki walaupun sedikit amat disyukuri. Oleh itu, semasa diri dalam riak dan alpa, jangan sampai Allah tarik rezeki sekelip mata,” katanya.
Dzul Akmal turut menegur Hanafiah supaya tidak menghina makanan orang kurang berkemampuan, manakala Fakhrul Anwar Mfa berkata, walaupun rezeki Hanafiah melebihi orang lain, beliau tidak perlu berkelakuan demikian.
“Yang cukup makan atau tak cukup makan, tak perlu dihina makanan sebegitu, Rezeki itu dari Allah semuanya,” katanya.
Adun Telok Mas, Abdul Razak Abdul Rahman daripada Umno turut membidas Hanafiah dengan berkata, wakil rakyat PAS itu perlu menunjukkan contoh baik kepada rakyat, bukannya bersikap sombong.
“Janganlah sombong kerana hakikatnya kita semua sedar ramai rakyat susah yang bersyukur dengan Menu Rahmah ini juga. Tak bagus ejek macam ini.
“Kita ini manusia biasa tak kira apa pun jawatan kita pegang,” katanya yang juga exco Melaka.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata: “Hina rezeki satu perbuatan yang keji, tidak berakhlak.”
FMT sedang menunggu maklum balas daripada Hanafiah.