Kadar dividen KWSP dijangka lebih rendah 4.8%-5.1%, kata sumber

Kadar dividen KWSP dijangka lebih rendah 4.8%-5.1%, kata sumber

Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 6.1% untuk akaun konvensional dan 5.65% untuk simpanan syariah.

Bayaran dividen KWSP untuk simpanan konvensional antara 5.2% (2020) hingga 6.9% (2017) sepanjang 10 tahun lalu.
PETALING JAYA:
Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu bersedia menerima dividen jauh lebih rendah daripada tahun lalu, iaitu 6.1% untuk akaun konvensional dan 5.65% bagi simpanan syariah.

Menurut sumber, dividen untuk simpanan konvensional dijangka antara 4.8% dan 5.1%, manakala syariah mungkin antara 4% hingga 4.5%.

KWSP dijangka membuat pengumuman itu pada Jumaat, melainkan terdapat perubahan saat akhir.

“Tetapi, kadar itu tentunya lebih baik daripada faedah simpanan tetap di bank komersial. Dalam keadaan itu, ia boleh diterima, khasnya mereka yang mempunyai simpanan banyak dalam akaun mereka,” katanya kepada FMT.

Sumber itu berkata, walaupun kadar dividen itu merosot secara mendadak, ia langkah terbaik boleh dilakukan dana persaraan itu susulan prestasi pasaran kewangan global sejak dua tahun lalu.

Bayaran dividen KWSP untuk simpanan konvensional antara 5.2% (2020) hingga 6.9% (2017) sepanjang 10 tahun lalu.

Bulan lalu, Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway memberitahu FMT, kebanyakan dana antarabangsa, termasuk KWSP, dijangka mencatat kerugian tertinggi atau melaporkan prestasi lemah bagi 2022 akibat kenaikan kadar faedah yang menjejaskan pasaran modal pada tahun lalu.

Katanya, sebahagian besar portfolio KWSP dalam sekuriti pendapatan tetap dan saham asing, yang memberi kesan besar kepada keuntungannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.