
Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim, berkata ia melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM505.68 juta yang akan memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun pendeposit di seluruh negara.
Katanya, kadar itu menunjukkan peningkatan berbanding 4.05% direkodkan pada 2024, sekali gus mencerminkan kecekapan pengurusan dana simpanan yang berlandaskan tadbir urus berintegriti serta strategi pelaburan efektif.
Menurutnya, sepanjang 2025 Simpan SSPN mencatatkan jumlah deposit sebanyak RM3.33 bilion, meningkat RM154.1 juta atau 4.86% berbanding RM3.17 bilion pada tahun sebelumnya.
“Dividen ini juga merupakan kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun terakhir.
“Peningkatan kadar ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum dapat kita berikan kepada pelanggan,” katanya dalam Majlis Pengumuman Kadar Dividen SSPN di Menara PTPTN.
Norliza turut memaklumkan, prestasi positif itu didorong strategi pelaburan patuh syariah dalam pasaran wang dan sukuk tempatan, selain pengurusan risiko berkesan serta pemilihan portfolio pelaburan jangka pendek dan panjang yang strategik.
Agihan dividen itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan melalui aplikasi MyPTPTN bermula 7 Mei.
Sejak diperkenalkan pada 2004, jumlah keseluruhan agihan dividen Simpan SSPN kini mencecah RM2.63 bilion.