PTPTN serah sumbangan SSPN RM3,000 kepada anak Amirul

PTPTN serah sumbangan SSPN RM3,000 kepada anak Amirul

Amirul Hafiz Omar maut akibat dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol di Klang, baru-baru ini.

Norliza Abdul Rahim(dua dari kiri) menyantuni waris kepada Amirul Hafiz Omar dengan menyampaikan sumbangan berjumlah RM3,000 dalam bentuk Akaun Simpan SSPN Prime di Batu Kurau, Perak. (Gambar PTPTN)
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyerahkan sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM3,000 kepada tiga anak Amirul Hafiz Omar, mangsa kemalangan maut akibat dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol di Klang, baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN diketuai Pengerusinya Norliza Abdul Rahim ke kediaman keluarga mangsa di Batu Kurau, Perak.

Setiap anak Amirul menerima RM1,000 dalam bentuk simpanan pendidikan bagi membantu menjamin masa depan mereka.

Norliza berkata inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diharap dapat meringankan beban keluarga yang kehilangan insan tersayang.

“Walaupun tiada apa yang mampu menggantikan kehilangan seorang suami dan bapa, kami berharap sumbangan ini dapat menjadi sokongan bermakna dalam memastikan pendidikan anak-anak Allahyarham terus terbela,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan awal untuk pendidikan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai manfaat termasuk pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma serta dividen kompetitif.

Selain itu, produk Simpan SSPN Plus menyediakan enam pakej simpanan bulanan antara RM30 hingga RM500 dengan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta serta manfaat khairat kematian kepada pendeposit dan keluarga.

PTPTN, agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi terus komited melaksanakan program CSR khususnya dalam aspek pendidikan demi membantu pembangunan generasi masa depan.

Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.