
Sumber itu yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman sebagai pendidik dan pegawai kanan kerajaan, menggesa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek segera campur tangan untuk “mengembalikan kualiti” dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara (DPN), khususnya berhubung kurikulum sekolah.
“Ketika ini ada antara pegawai memegang jawatan penting tetapi hanya mempunyai pengalaman mengajar lima tahun. Bayangkan… mereka ini terbabit dalam perancangan kurikulum sekolah untuk 20 tahun akan datang,” katanya pada FMT.
“Untuk berperanan dalam menggubal kurikulum, seseorang itu kena ada pengalaman luas sebagai pendidik, tetapi aspek ini kurang diberi penekanan di KPM.
“Keadaan ini membawa kepada individu kurang layak dipilih mengisi jawatan penting,” kata sumber itu.
Beliau turut mendakwa ketandusan kualiti dan pengalaman berhubung penggubalan kurikukum dan pelaksanaan DPN berpunca daripada pegawai tertentu menggunakan pengaruh luar atau “kabel” untuk dilantik ke jawatan penting berkenaan.
Sumber itu tidak memperincikan jawatan penting yang dimaksudkan namun berkata beberapa calon untuk lantikan penting sebelum ini jelas tiada pengalaman “tetapi berjaya dilantik kerana ada kabel dalam KPM”.
Sebelum ini, ramai ibu bapa dan pendidik mengeluh mengenai kurikulum yang dianggap tidak rasional dan membebankan pelajar serta guru.
Antara lain, mereka mempersoalkan sistem pendidikan negara terutama berkaitan silibus (sukatan pelajaran) yang didakwa “terlalu tinggi” untuk murid sekolah rendah.
“Ramai pegawai kementerian turut bimbang silibus anak-anak sekarang. Kita tengok buku teks tahun satu … soalan yang dipaparkan amat susah untuk budak yang baharu mula nak belajar membaca.
“Apa akan jadi 20 tahun akan datang? Kalau hari ini kita gagal, bermakna seluruh generasi yang berada dalam kurikulum cacamarba itu akan turut gagal 20 tahun akan datang,” tegas sumber itu.
Keadaan itu diburukkan dengan keciciran murid sewaktu negara dilanda wabak Covid-19 tiga tahun lalu, menyaksikan sesi persekolahan ditutup untuk tempoh lama.
Sumber berkenaan mahu Fadlina bertindak segera terhadap isu berkenaan selepas dua menteri sebelum ini – Radzi Jidin dan Maszlee Malik – gagal membawa perubahan.
Beliau akur beberapa pegawai KPM kurang berpengalaman sudah dihantar kembali ke sekolah untuk mengajar tetapi “siapa ada kabel kuat terlepas (dan) masih pegang jawatan”.
Sumber itu turut mendakwa Institut Pendidikan Guru (IPG) diberikan peranan terlalu luas untuk menggubal kurikulum, sekali gus, meminggirkan guru veteran yang lebih mengetahui keperluan lapangan.
Akibatnya, menurut sumber itu, ada pensyarah IPG yang tidak pernah mengajar di sekolah rendah tetapi merangka silibus subjek tertentu sekolah rendah hanya “berdasarkan hasil lawatan ke Finland dan Amerika Syarikat”.
“Ini menyebabkan silibus kurikulum sekolah rendah melampaui aras pembelajaran kanak-kanak di kala masih ramai kanak-kanak tidak tahu membaca tetapi dipaksa mempelajari topik yang melampaui kemampuan mereka.”
FMT telah menghubungi pejabat Fadhlina untuk mendapatkan komennya.