
Sebaliknya Hanafiah berkata, makanan dipesan bukan dalam kategori Menu Rahmah sambil menyatakan sudah menjadi amalannya makan nasi bersama kuah.
“Pada kejadian itu saya memang makan nasi dengan ikan goreng, ada sayur campur dan ayam, ada dua jenis sayur serta telur. Nasi itu kebetulan tak ada kuah.
“Saya memang orang Terengganu, saya memang tak pernah makan nasi tak ada kuah. Saya gunakan air yang saya minum sebagai kuah dan saya makan nasi tu sampai habis. Ia dilihat beberapa kawan saya. Kawan saya pun dia letak air makan nasi,” katanya kepada FMT.
Hanafiah berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman warganet selepas beliau dikatakan memperlekehkan menu makanan disediakan untuk golongan kurang berkemampuan.
Mengulas lanjut, Adun Chukai itu berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak menyebarkan fitnah terhadapnya.
“Saya akan ambil tindakan peguam terhadap tangan-tangan jahat cuba menjatuhkan reputasi saya sebagai wakil rakyat,” katanya.
Beliau turut menganggap tindakan jahat itu dilakukan pihak cemburu dengan kejayaannya sebagai exco kebajikan yang dekat di hati rakyat Terengganu.
“Itu bukan Menu Rahmah, saya tak sebut tu Menu Rahmah, tangan-tangan jahat ni, orang politik ni yang iri hati terhadap saya yang sangat berjaya sebagai exco di Terengganu yang sentiasa beri bantuan dan dekat di hati rakyat,” katanya.
Sebelum ini pengguna Twitter, Shahbudin Husin, yang berkongsi video itu berkata Hanafiah cuba memperlekehkan Menu Rahmah.
Turut berkongsi video sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata, ramai orang susah dan tidak mampu mendapat manfaat daripada Menu Rahmah.
“Bukan semua orang bergaji besar seperti YB exco dan boleh makan di tempat yang mewah. Kalau tidak setuju pun, tiada keperluan merendahkan martabat orang susah dengan meremehkan makanan mereka,” katanya.
Dalam video berdurasi 18 saat yang tular itu, Hanafiah dilihat mencurah minumannya ke nasi dalam pinggan kerana makanan itu tidak berkuah.