
Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat dalam membuat pindaan itu juga dibebaskan.
Hakim Zaini Mazlan mendapati pendakwa raya gagal membuktikan bahawa ada kes prima facie terhadap Najib, bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.
Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 7 Sept 2022 selepas memanggil 16 orang saksi, termasuk Allahyarham Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha negara.
Saksi lain yang memberikan keterangan termasuk bekas ketua audit negara Ambrin Buang dan Madinah Mohamad; bekas pengerusi 1MDB Bakke Salleh; dan bekas pengarah audit Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.
Mahkamah juga sebelum ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk memanggil Arul Kanda memberikan keterangan bagi pihaknya.
Najib didakwa menyalahgunakan kuasa untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya dalam melakukan kesalahan tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.