
Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, berkata setakat ini pihaknya masih tidak tahu punca penahanan tersebut.
“Ditahan berkenaan apa saya pun tidak tahu,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas mesyuarat tertutup Bersatu di Publika malam tadi.
Manakala Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin, meminta semua pihak menunggu maklumat rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu.
“Apa masalahnya? Kita tidak ada masalah langsung. Kita tahu kita tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tunggu sahaja,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah mengesahkan penahanan itu dan Salleh direman dua hari.
Bagaimanapun, sumber dalam Bersatu pula memaklumkan ia adalah berkait siasatan ke atas program Jana Wibawa dan Platform Akar Umbi Pemacu Negara (AkuPN).
Jana Wibawa inisiatif yang dilancarkan kerajaan ketika wabak Covid-19 melanda untuk membantu kontraktor Bumiputera.
Sementara itu, ditanya berkenaan hasrat Pejuang menyertai Perikatan Nasional (PN), Hamzah berkata perkara tersebut masih dalam proses perbincangan dan satu pertemuan bakal diadakan.
Semalam, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, berkata parti itu memohon untuk menyertai PN dan surat permohonan telah dihantar kepada pengerusinya Muhyiddin Yassin.
Mukhriz berkata keputusan itu telah disepakati oleh Majlis Eksekutif Pusat Pejuang setelah melakukan penelitian dan penilaian khusus semua opsyen-opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada.
“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami peroleh dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2,” katanya dalam kenyataan.