Keputusan JPPM ‘tamparan’ buat kem anti-Zahid, kata penganalisis

Keputusan JPPM ‘tamparan’ buat kem anti-Zahid, kata penganalisis

Penganalisis meramalkan presiden parti akan mencalonkan sekutunya sebagai calon untuk pilihan raya negeri.

Umno meluluskan usul tiada pertandingan melibatkan jawatan presiden dan timbalan presiden, pada Perhimpunan Agung Umno 2022, pada Januari.
PETALING JAYA:
Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bahawa Umno tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung usul tiada pertandingan ‘top 2’, menjadikan presiden Ahmad Zahid Hamidi lebih berani menamakan calon dalam kalangan sekutunya menjelang pilihan raya negeri, ramal penganalisis.

Bercakap kepada FMT, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, menyifatkan keputusan JPPM itu sebagai satu tamparan kepada kem anti-Zahid dalam Umno.

“Kini, Zahid mempunyai kuasa memilih calonnya bagi pilihan raya negeri, bukan sahaja mereka yang boleh menang, malah yang bersekutu dengannya,” kata Azmi.

Awang Azman berkata: “Anti-Zahid atau kumpulan pro Perikatan Nasional tidak akan terpilih bertanding pada pilihan raya negeri kerana mereka dianggap ancaman kepada parti dan juga kerajaan perpaduan.”

Sabtu lalu, Zahid mendedahkan JPPM menulis surat kepada Umno memutuskan Umno tidak melakukan sebarang kesalahan dengan meluluskan usul tambahan pada Perhimpunan Agung Umno 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, termasuk tidak melanggar sebarang peraturan atau bercanggah mana-mana perlembagaan parti.

Bulan lalu, dua ahli Umno melaporkan kepada JPPM mendakwa usul dikemukakan pada perhimpunan agung itu melanggar Perkara 10 perlembagaan parti.

Azmi berkata, mereka yang dipecat Umno atau ahli menentang dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti sudah hilang peluang mengubah status quo parti.

“Contohnya, keputusan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob tidak mempertahan kedudukannya adalah kerugian besar bagi kem anti-Zahid dan mereka yang tidak berpuas hati dengan usul tiada pertandingan,” katanya.

Awang Azman berkata, ahli Umno dipecat kini hanya boleh berharap sekutu mereka dalam parti akan menang menentang orang yang bersekutu dengan Zahid, justeru boleh memberi tekanan terhadap kepimpinannya.

Pemilihan Umno akan berlangsung pada 11 Mac dengan jawatan kepimpinan dalam Wanita, Pemuda dan Puteri dipertandingkan, manakala jawatan ketua bahagian, naib presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi akan dipilih, pada 18 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.