Pilih calon berani bawa suara akar umbi, bukan ‘pak turut’, KJ beritahu ahli Umno

Pilih calon berani bawa suara akar umbi, bukan ‘pak turut’, KJ beritahu ahli Umno

Bekas ketua pemuda Umno berkata penting bagi ahli parti memilih calon berani bersuara dan tidak menjadi 'pak turut' atau 'tukang angguk'.

Januari lalu Perhimpunan Agung Umno meluluskan usul tiada pertandingan bagi jawatap ‘top 2’ iaitu presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang.
PETALING JAYA:
Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengingatkan bekas rakan seperjuangannya supaya memilih calon terbaik yang berani membawa suara akar umbi yang mungkin tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan dalam pemilihan akan datang.

Beliau berkata, penting bagi ahli parti memilih calon berani bersuara dan tidak akan menjadi ‘pak turut’ atau ‘tukang angguk’ dengan hanya sekadar mengikut rentak sahaja.

“Jawatan naib presiden dan mungkin pembentukan Majlis Kerja Tertinggi ini boleh mencerminkan harapan bahawa ada usaha untuk membawa pembaharuan, walaupun jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

“Perwakilan boleh bangkit untuk menggunakan jawatan ini sebagai suatu ‘proxies’ untuk menyatakan sebenarnya ada sesuatu yang tidak betul dalam parti.

“Kita nak melihat calon yang boleh membawa suara dari akar umbi yang mungkin tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan,” katanya dalam podcast “Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan” yang dimuatnaik hari ini.

Dalam pada itu, Shahril yang digantung keahlian parti selama enam tahun berkata, ahli Umno tidak seharusnya mengundi calon yang akan memilih perjuangan mereka.

“Kami mahu calon yang berani bersuara serta mempunyai kredibiliti. Kami tidak mahu mereka yang memilih perjuangan hanya apabila merasakan ia selesa untuk mereka,” katanya.

Dalam Perhimpunan Agung Umno Januari lalu, parti itu meluluskan usul tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian bersama pemilihan exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat bakal diadakan serentak 11 Mac ini.

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan jawatankuasa Umno bahagian bersama pemilihan ahli MKT Umno pula akan diadakan 18 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.