Muar pulih daripada banjir, mangsa di Johor turun

Muar pulih daripada banjir, mangsa di Johor turun

Sehingga kini, 107 pusat pemindahan sementara masih dibuka di daerah Batu Pahat, Tangkak dan Segamat.

Mangsa banjir, Suriyani Arbain (kiri) bersama Jemari Katimon (dua dari kiri) bergotong-royong menyediakan makanan tengah hari di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Ramai Sri Medan, Batu Pahat. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Keadaan banjir di negeri ini dilihat semakin baik dengan Muar menjadi daerah terbaharu pulih sepenuhnya daripada bencana itu.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,245 orang di tiga daerah setakat 8 malam tadi, berbanding 35,230 orang yang direkodkan 4 petang tadi.

“Sehingga kini, 107 pusat pemindahan sementara masih dibuka di daerah Batu Pahat, Tangkak dan Segamat.

“Batu Pahat mempunyai paling ramai mangsa, iaitu 33,146 daripada 9,407 keluarga, diikuti Segamat 75 orang (23 keluarga) dan Tangkak 24 mangsa daripada tiga keluarga,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat ketika dihubungi Bernama memaklumkan, paras air juga didapati semakin surut di beberapa kawasan di daerah itu.

“Kita jangkakan lebih ramai mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah, memandangkan keadaan cuaca baik,” katanya.

Cuaca diramalkan cerah di semua 10 daerah pada malam ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.