UPSR, PT3 tidak dikembalikan, kata menteri

UPSR, PT3 tidak dikembalikan, kata menteri

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kaedah PBS yang diamalkan sekarang adalah cara terbaik untuk mendidik murid secara holistik.

Pada 2021, UPSR bagi murid Tahun Enam dimansuhkan, manakala PT3 bagi pelajar Tingkatan Tiga dimansuhkan pada tahun berikutnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak merancang mengembalikan sistem penilaian pelajar melalui peperiksaan seperti sebelum ini, termasuk peperiksaan utama seperti UPSR dan PT3, kata menterinya Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, kementerian telah beralih kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) berikutan pemansuhan UPSR dan PT3, yang diduduki pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga sebelum ini.

Katanya, PBS ialah pendekatan terbaik untuk beralih kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan bagi murid serta dapat membangunkan potensi murid secara menyeluruh.

“Oleh itu, KPM tidak bercadang untuk mewujudkan semula sistem peperiksaan pada masa ini,” katanya.

“Sebarang keputusan untuk melaksanakan semula peperiksaan bergantung pada hasil laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.”

Fadhlina berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Parlimen oleh Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak), sama ada kementerian akan mewujudkan semula sistem peperiksaan.

Fadhlina berkata, PBS melibatkan pentaksiran berasaskan bilik darjah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta psikometrik, selain menitikberatkan nilai murni, minat dan pembentukan sahsiah.

Awal bulan ini, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menggesa Putrajaya mengkaji semula pemansuhan UPSR, dengan berkata ramai ibu bapa merungut anak mereka kurang motivasi untuk belajar.

Pada April 2021, KPM mengumumkan pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 bagi tahun tersebut. Pada Jun 2022, PT3 dimansuhkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.