
PETALING JAYA: Seorang anak kelahiran Ipoh, Eason Rajah dilantik sebagai hakim di sebuah Mahkamah Tinggi di England bermula 18 April ini.
Pelantikan Rajah diumumkan di laman sesawang jabatan kehakiman United Kingdom, bagi mengisi kekosongan di Mahkamah Tinggi.
Rajah, 56, akan menjadi hakim di jabatan canseri.
Anak kepada peguam kanan di Ipoh, Rajah mendapat pendidikan di Malaysia dan England sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham dan diterima ke dalam Majlis Peguam pada 1989.
Beliau pakar dalam bidang amanah antarabangsa dan ligitasi estet, sebelum menjadi Peguam Ratu (kini Peguam Diraja) pada 2011.
Rajah kemudian dilantik sebagai pendaftar, langkah pertama dalam tangga kehakiman pada 2016 dan diberi kuasa sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 2020.