7 warga asing ditipu sindiket tipu pelaburan RM31 juta

7 warga asing ditipu sindiket tipu pelaburan RM31 juta

Empat warga China, dua Taiwan, dan seorang dari Korea Selatan membuat laporan di IPD Cheras.

scammer
Peguam mewakili tujuh warga asing itu, Andy Yeoh berkata skim pelaburan dalam talian itu menjanjikan kadar pulangan lima peratus bagi setiap transaksi.
PETALING JAYA:
Tujuh warga asing dipercayai kerugian lebih RM31 juta susulan menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan antarabangsa.

Peguam mewakili semua mangsa, Andy Yeoh yang mewakili empat warga China, dua Taiwan, dan seorang Korea Selatan, berkata mereka terpedaya dengan tawaran sebuah syarikat yang menjalankan skim pelaburan dalam talian dikenali sebagai ‘High Inspirations’, menjanjikan kadar pulangan pelaburan lima peratus bagi setiap transaksi.

Katanya, terdapat lebih 300 mangsa lain yang turut berhasrat menuntut kembali wang pelaburan mereka.

“Anak guam kami telah diperkenalkan kepada platform ini yang dikatakan sebagai platform sah yang mampu menjana pendapatan konsisten.

“Skim pelaburan ini mula beroperasi pada 2018 sebelum kemudahan pengeluaran wang pelabur secara tiba-tiba dihentikan bermula Sept 2021, manakala platform itu ditutup sepenuhnya pada Ogos tahun lepas,” katanya menurut Bernama.

Seorang mangsa warga Taiwan, Liu Chun Kuang, 58, berkata mangsa skim penipuan itu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemilik perniagaan kecil dan pekerja yang melabur menggunakan wang simpanan mereka.

“Kami memohon kerajaan Malaysia untuk menyiasat sindiket pelaburan ini dan membantu mendapatkan semula keadilan bagi pihak pelabur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Cheras Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya telah menerima tujuh laporan berkaitan kes tersebut, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.