Tangguh dulu pengambilan guna platform digital, 3 persatuan agensi pekerjaan beritahu kerajaan

Tangguh dulu pengambilan guna platform digital, 3 persatuan agensi pekerjaan beritahu kerajaan

Persatuan terbabit memberi amaran pelaksanaan secara terburu-buru selain seru diadakan rundingan menyeluruh dengan pihak berkepentingan.

migrant workers construction workers
Tiga kumpulan industri mendakwa alasan pengambilan pekerja asing secara beretika telah digunakan bagi mewajarkan penubuhan platform digital itu tanpa berunding dengan pihak berkepentingan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga persatuan mewakili agensi pekerjaan swasta menyeru Putrajaya menghentikan rancangan memperkenalkan platform pengambilan digital sejagat bagi pekerja asing sehingga rundingan menyeluruh dengan pihak berkepentingan dijalankan.

Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia, dan Petubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia menggesa kementerian berkaitan tidak menyokong cadangan platform itu sehingga sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan diadakan.

Kumpulan berkenaan mewakili firma pekerjaan swasta berlesen yang dikawal selia di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

Mereka menyuarakan kebimbangan mengenai potensi penyingkiran ejen berlesen daripada proses pengambilan pekerja, serta implikasi kos di bawah sistem dicadangkan itu.

Kumpulan tersebut berkata, penghapusan peranan agensi akan membawa kepada kesukaran kewangan kepada banyak firma, yang mana majoritinya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ditubuhkan pada 1980-an dan 1990-an.

Katanya, mereka menyokong langkah Malaysia ke arah melaksanakan model pengambilan pekerja yang beretika secara sepenuhnya secara beransur-ansur, proses dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun.

“Kami kesal kerana alasan pengambilan pekerja beretika telah digunakan secara meluas bagi mewajarkan tindakan menyegerakan penubuhan platform digital ini tanpa berunding dengan semua pihak berkepentingan.

“Kami bersetuju proses pengambilan pekerja asing di Malaysia tidak seharusnya melalui banyak lapisan mengumpul lapisan tidak perlu… (namun) kami amat menyarankan supaya pihak berkuasa kembali kepada undang-undang sedia ada yang terbukti berkesan dalam mengawal selia pengambilan (pekerja asing),” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Persatuan berkenaan berkata, mereka telah membantah cadangan itu secara rasmi melalui surat dikemukakan kepada beberapa kementerian pada 8 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.