
Semua 80 tertuduh termasuk empat wanita yang berumur antara 17 hingga 46 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan pakatan jenayah dengan menyamar sebagai polis dari China untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, iaitu memperdaya mangsa dalam penipuan insuran melalui panggilan telefon serta video.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis pada 9.25 pagi, 7 April, mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan 57 tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan, manakala 23 lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan memandangkan mereka berdepan dengan kesalahan imigresen.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Mei ini untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam, manakala tujuh tertuduh diwakili peguam Vivian Thien serta dua lagi diwakili peguam Jhesseny P Kang dan selebihnya tidak diwakili peguam.