Wan Rosdy, Khaled dan Johari naib presiden Umno

Wan Rosdy, Khaled dan Johari naib presiden Umno

Seramai lapan pemimpin Umno bertanding untuk jawatan naib presiden.

(Dari kiri) Wan Rosdy Wan Ismail, Khaled Nordin dan Johari Ghani menewaskan lima calon lain untuk menjadi naib presiden Umno yang baharu.
PETALING JAYA:
Wan Rosdy Wan Ismail, Khaled Nordin dan Johari Ghani dipilih sebagai naib presiden Umno, menewaskan lima calon lain pada pemilihan parti.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) Shahrir Samad di sidang media di ibu pejabat parti itu.

Khaled berjaya mempertahankan jawatan tersebut manakala seorang lagi bekas naib presiden, Mahdzir Khalid, tewas.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatannya kemungkinan sebagai tanda protes terhadap usul agar dua jawatan tertinggi dalam parti itu tidak dipertandingkan.

Badruddin Amiruldin pula mengekalkan jawatannya sebagai pengerusi tetap Umno manakala timbalannya adalah Abdul Fattah Abdullah.

Pertandingan 25 kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno masih belum ada keputusan rasmi dan parti itu dijangka mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.

Sementara itu, Shahrir berkata empat Bahagian iaitu Tanah Merah, Kota Kinabalu, Beluran, dan Johor Bahru tidak terlibat dengan pemilihan di peringkat nasional kerana masalah teknikal dan pertikaian, menjadikan hanya 187 Bahagian terbabit.

Tambahnya, sebanyak 54 daripada 187 ketua Bahagian Umno yang memenangi pemilihan kali ini adalah muka baharu.

Ini termasuklah tiga Bahagian di Melaka, lima di Kedah, tiga di Terengganu, dua di Pulau Pinang, 10 di Johor, dan enam di Selangor.

“Ini menunjukkan perubahan dinamik dalam Umno,” katanya.

Menurutnya, JPU juga dijangka menerima aduan daripada beberapa Bahagian berhubung perjalanan pemilihan parti kali ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.