Wanita mohon batal undang-undang tukar agama unilateral di 8 negeri

Wanita mohon batal undang-undang tukar agama unilateral di 8 negeri

Dia dan 13 lain akan bergantung pada keputusan mahkamah tertinggi mengenai undang-undang penukaran agama secara unilateral tidak berperlembagaan.

Agama tiga anak M Indira Gandhi telah ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita beragama Hindu yang mana tiga anaknya ditukar agama secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, dikatakan berusaha untuk membatalkan undang-undang yang membolehkan pertukaran agama secara demikian di lapan negeri.

Aktivis Aruns Dorasamy berkata M Indira Gandhi dan 13 plaintif lain memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Mac.

Jurucakap Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) itu berkata para plaintif akan bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kes Indira, yang mengumumkan pertukaran agama kanak-kanak secara sebelah pihak adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

Ketika ini, undang-undang Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, dan Wilayah Persekutuan membolehkan pertukaran agama secara sebelah pihak.

Mahkamah Persekutuan pada 2018 membatalkan pertukaran agama secara sebelah pihak tiga anak Indira. Ia mentafsirkan perkataan “parent” dalam Perkara 12(4) sebagai “ibu dan bapa” sekiranya kedua-duanya masih hidup. Ini bermakna sebarang pertukaran agama perlu mendapat persetujuan ibu dan bapa yang masih hidup.

Arun berkata masih ada negeri yang membolehkan pertukaran agama sebelah pihak lima tahun selepas keputusan mahkamah tertinggi itu.

“Kami memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa enakmen tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan itu tidak sah dan terbatal,” katanya kepada pemberita di Hindu Service Centre.

Mereka juga mahu, “semua pertukaran agama secara sebelah pihak sejak 29 Jan 2018 diisytiharkan tidak sah dan terbatal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.