KWSP pertimbang tingkat pengeluaran tunai haji

KWSP pertimbang tingkat pengeluaran tunai haji

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja setakat ini membenarkan pencarum mengeluarkan RM3,000 bagi menunaikan haji.

Ketua Strategis KWSP Nurhisham Hussein berkata pihaknya sedia mempertimbang meningkatkan pengeluaran bagi kemudahan haji jika mendapat permintaan kerajaan.
PETALING JAYA:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedia mempertimbang menaikkan jumlah pengeluaran menunaikan ibadat haji dalam Akaun 2 jika mendapat permintaan kerajaan.

Ketua Strategis KWSP, Nurhisham Hussein, berkata pihaknya sedia maklum kos menunaikan haji kini meningkat agak tinggi.

“Kami maklum, kos menunaikan haji meningkat agak tinggi terutama golongan berpendapatan tinggi dan sederhana, dan kita akan pertimbangkan jika ada permohonan untuk menaikkan jumlah pengeluaran haji,” katanya menurut Berita Harian.

Sejak pengeluaran bagi menunaikan haji dibenarkan pada 2013, sejumlah RM12 juta dikeluarkan pencarum bagi tujuan itu.

Pengeluaran itu dihadkan kepada RM3,000 sahaja daripada Akaun 2.

Isnin lalu, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata kos haji naik kepada RM30,850, berbanding RM28,632 tahun lalu.

Bagi jemaah golongan B40, kerajaan bersetuju menanggung kenaikan kadar bayaran berjumlah RM1,000 bagi kategori itu untuk musim haji 1444H/2023M, oleh itu bayaran jemaah muasasah kumpulan berkenaan kekal seperti kadar tahun lalu, iaitu RM10,980.

“Untuk M40 pula, bantuan kewangan diberikan 48%. Jadi, mereka hanya perlu bayar RM15,980. Bagi kumpulan T20, perlu membayar keseluruhan kos iaitu RM30,850,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.