Remaja jatuh longkang ditemui lemas

Remaja jatuh longkang ditemui lemas

Bomba berkata, mangsa cuba melintas longkang berdekatan kediamannya tetapi terjatuh sebelum di bawa arus air yang deras.

Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang ditemui tersangkut di dalam pembentung namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. (Gambar Bomba dan Penyelamat Skudai)
JOHOR BAHRU:
Seorang remaja lelaki meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang berkedalaman dua meter di Jalan Mahkota 7, Taman Ungku Aminah di Skudai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Mohamad Riduan Akhyar, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian yang melibatkan remaja tempatan berusia 13 tahun itu pada jam 4 petang.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Brenhart Igoh Ajun, bersama dua rakannya yang tinggal di flat berdekatan dipercayai cuba melintas longkang tersebut, namun mangsa gagal dan terus terjatuh ke dalam longkang yang ketika itu arus air sangat deras.

“Pasukan operasi menggunakan tali dan masuk ke dalam pembentung bagi mengeluarkan mangsa yang tersangkut, selepas itu mangsa dibawa ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata anggota bomba turut melakukan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara menunggu pasukan perubatan tiba, namun mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Riduan berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.