6 rangka manusia ditemukan di rumah terbakar

6 rangka manusia ditemukan di rumah terbakar

Enam mangsa termasuk tiga budak berusia antara dua hingga sembilan tahun.

Ab Rahaman Arsad
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya menahan empat suspek warga tempatan dengan dua daripadanya akan didakwa esok. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga yang dipercayai meninggal dunia lebih tiga bulan ditemukan di sebuah rumah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Skudai, bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata seorang lelaki berusia 48 tahun, iaitu suami kepada salah seorang mangsa, membuat laporan di IPD Iskandar Puteri pada 9 Jan, selepas menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.

“Pengadu pernah mendapat maklumat bahawa isteri dan anaknya pernah duduk di rumah tersebut yang terletak jauh dari jalan besar, tanpa bekalan elektrik dan air, sebelum dia bertindak mencari sendiri ahli keluarganya itu,” katanya dalam sidang media di IPK Johor, lapor Bernama.

Susulan penemuan itu, beliau berkata pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah dan forensik polis Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka dijumpai di rumah terletak berhampiran kuil terbiar di Kangkar Pulai itu.

Katanya, siasatan mendapati enam mangsa termasuk seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.

Selain itu, tiga lagi mangsa terdiri dua budak perempuan berusia sembilan dan lima tahun, serta seorang budak lelaki berusia dua tahun.

Rahaman berkata, polis masih menyiasat tempoh semua mangsa terbabit dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, beliau berkata, susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 35 tahun.

Katanya, semua suspek ditahan di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Jan lalu bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah,” katanya.

Berhubung motif pembunuhan, Rahman berkata perkara itu akan diketahui apabila kes dibicarakan di mahkamah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Rahaman berkata, siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dengan dua suspek lelaki akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok atas kesalahan membunuh, manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.