
Antara yang mungkin digugurkan melibatkan Adun Perai P Ramasamy, yang juga timbalan ketua menteri, selain Adun Bagan Dalam Satees Muniandy, dan beberapa lagi dianggap sekutu Ramasamy.
Sumber itu mendakwa, Pengerusi DAP Lim Guan Eng menjadi watak utama menentang kem Ramasamy, dan dikatakan mahu membawa masuk “orangnya” susulan “kebimbangan keluarga Lim tidak lagi menguasai parti”.
Kepimpinan parti sejak berdekad lamanya didominasi bekas setiausaha agung, Lim Kit Siang, disusuli anaknya, Guan Eng, yang kini pengerusi DAP.
Sumber FMT yang juga bekas Ahli Parlimen, berkata wujud rancangan menggantikan mereka yang berada dalam “kem Ramasamy” dengan sekutu Guan Eng.
Antara disebut-sebut untuk dibawa masuk adalah Sundarajoo Somu, dari syarikat hartanah, Eco World Development.
FMT sedang mendapatkan maklum balas Ramasamy, Guan Eng, dan Pengerusi Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Semalam, Ramasamy, 74, menyatakan rasa “terkejut” dengan laporan The Star yang mendakwa beliau akan digugurkan sebagai calon, pada pilihan raya negeri.
Katanya, beliau tidak faham dari mana akhbar itu mendapat maklumat, selain DAP Pulau Pinang belum lagi menghantar senarai nama calon berpotensi kepada kepimpinan pusat parti.
Ramasamy yang juga bekas profesor sains politik berkhidmat selama tiga penggal sebagai Adun sejak 2008, tahun di mana Barisan Nasional (BN) ditumbangkan menerajui Pulau Pinang selepas 35 tahun.
Pilihan raya negeri perlu diadakan di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan (negeri dikuasai Pakatan Harapan), manakala Kedah, Kelantan, dan Terengganu (dikuasai PAS).