Sindiket edar syabu lebih RM6 juta tumpas, 6 lelaki ditahan

Sindiket edar syabu lebih RM6 juta tumpas, 6 lelaki ditahan

Sindiket itu berjaya ditumpaskan dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada Rabu dan semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan ketika sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Batu Uban hari ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas merampas 183.6 kilogram (kg) syabu bernilai RM6.0588 juta, dalam siri serbuan di negeri ini dan Kuala Lumpur pada Rabu dan semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri turut menahan enam lelaki termasuk lima warga asing dalam operasi terancang itu, melibatkan lima lokasi serbuan.

“Dalam serbuan pertama, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan di kawasan Auto City Juru dekat sini, dalam sebuah kereta jenis Honda CRV pada 6 petang Rabu dan pemeriksaan menemui lima bongkah plastik hitam mengandungi 178 bungkusan berisi syabu.

“Semua dadah yang anggaran berat 183.6 kg itu bernilai RM6.0588 juta dan dipercayai syabu tersebut untuk dibawa ke negara jiran dengan menggunakan bot nelayan serta laluan laut,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya, susulan penahanan itu, polis menyerbu tiga lagi lokasi di sekitar Pulau Pinang dan menahan empat lelaki warga asing bekerja sebagai buruh binaan dan nelayan, serta turut merampas sebuah bot fiber bersama dua buah enjin yang bernilai RM380,000, di Kuala Sungai Juru, dekat sini.

Shuhaily berkata polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 4 pagi semalam dan menahan seorang lelaki tempatan, selain merampas wang tunai RM500,000 serta menyita tujuh kenderaan mewah, antaranya Porsche Panamera dan Toyota Alphard.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu telah beroperasi sejak pertengahan tahun lepas dan mereka dipercayai membawa syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh cina itu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang menggunakan jalan darat, sebelum dibawa ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata polis percaya dua lelaki warga asing yang bekerja sebagai nelayan itu berperanan membawa dadah ke negara jiran menggunakan bot yang telah diubah suai.

Katanya, semua suspek kini direman hingga 5 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Mohd Shuhaily berkata siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket itu termasuk yang berada di negara jiran.

Beliau berkata ia adalah rampasan syabu terbesar di Pulau Pinang setakat tahun ini dan keseluruhan rampasan termasuk sitaan harta berjumlah RM8.32 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.