
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bermula dengan menyerap hampir 4,300 pegawai kontrak sebagai lantikan tetap tahun ini.
Beliau berkata, baki pegawai kontrak disasarkan untuk diserap menjelang 2025 itu dianggarkan melibatkan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion.
“Setakat ini, jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak ialah 20,330.
“Walaupun pelantikan tetap doktor kontrak ini dibuat, pada masa sama KKM (Kementerian Kesihatan) akan terus membuat pelantikan kontrak bagi tujuan ‘housemanship’ yang turut memberi implikasi kepada peningkatan kos emolumen KKM saban tahun,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Madius Tangau (PH-Tuaran), yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan jika semua pegawai perubatan lantikan kontrak diserap, seterusnya dilantik secara tetap.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan memahami isu lantikan pegawai kesihatan kontrak sudah lama berlarutan.
Beliau memberi jaminan ia akan ditangani sebaiknya dengan mengambil kira bilangan dan implikasi kewangan yang terlibat.
Katanya, kerajaan juga mengambil pendekatan menyelesaikan isu itu secara berperingkat.
“Ini termasuk menambah baik peluang latihan kepakaran dan garis panduan sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengulangi supaya pembangkang melakukan perbincangan dengan wakil kerajaan mengenai peruntukan yang diputuskan.
Katanya, pihaknya tiada masalah untuk membuat perbincangan dengan pembangkang.
“Kelulusan telah diputuskan. Cuma timbalan perdana menteri ketuai pasukan minta pembangkang bincang parameter diluluskan. Kalau mereka (pembangkang) tak sedia…tak apalah. Tunggu dulu,” katanya.
Terdahulu, Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoalkan peruntukan pembangkang yang sehingga kini belum diperoleh berbanding Ahli Parlimen kerajaan.
“Kami tak dapat apa. Minta perdana menteri beri penjelasan. Kalau tak dapat banyak sikit pun tak apa sebab nak beli kurma untuk rakyat miskin,” katanya.