Latih guru, murid kenal pasti pengantunan kanak-kanak, kata Syerleena

Latih guru, murid kenal pasti pengantunan kanak-kanak, kata Syerleena

Ahli Parlimen DAP itu juga menuntut Kementerian Pendidikan melaksanakan proses saringan ketat memilih guru.

Syerleena Abdul Rashid berkata sukarelawan juga perlu menjalani proses saringan ketat sebelum menyertai NGO yang terbabit dengan murid. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen DAP Syerleena Abdul Rashid menggesa Kementerian Pendidikan melatih guru, kakitangan, dan murid untuk mengenal pasti tanda pengantunan kanak-kanak dan penderaan seksual bagi mengelak kes seorang fidofilia dari United Kingdom kembali berulang.

Orang ramai tidak boleh hanya bergantung kepada undang-undang semata-mata demi melindungi kanak-kanak, katanya merujuk pindaan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.

“Richard Huckle adalah seorang fidofilia yang mencabul kanak-kanak di Malaysia selama sembilan tahun.

“Dia menyamar sebagai guru Bahasa Inggeris, dan berselindung di sebalik imej yang baik dan dapat melepaskan diri selepas melakukan perbuatan keji terhadap kanak-kanak,” kata Ahli Parlimen Bukit Bendera itu kepada FMT.

Syerleena Abdul Rashid.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga perlu melaksanakan proses saringan ketat, termasuk melakukan pemeriksaan latar belakang sebelum diserap menjadi guru.

Syerleena berkata, sukarelawan juga perlu melalui saringan sama sebelum bekerja dengan NGO.

“Kelakuan pelik dapat mengenal pasti bakal pesalah sebelum mereka ada peluang menyakiti kanak-kanak.”

Menyambut baik pindaan terbaru Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017, Syerleena berkata, menguatkan undang-undang dan penguatkuasaan terhadap penderaan seksual kanak-kanak boleh menjadi satu bentuk pencegahan.

Undang-undang lebih baik diperlukan untuk menangani masalah kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang kini menjadi masalah sangat serius, sambil menambah Malaysia dikenal pasti sebagai lokasi panas eksploitasi kanak-kanak dalam “dark web”.

Katanya, pada 2020, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia melaporkan 20,989 kes bahan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian direkodkan di negara ini, meningkat lebih 200% berbanding tahun sebelumnya.

“Tetapi, kita perlu juga melihat bagaimana sekolah dan masyarakat boleh melindungi anak-anak kita dengan lebih baik.

“Ibu bapa, sekolah dan komuniti perlu proaktif menggalakkan mangsa melaporkan perbuatan penderaan oleh suspek.

“Mencegah kejadian ini memerlukan komitmen semua pihak – dari ibu bapa hingga sekolah, organisasi, komuniti, dan kerajaan,” katanya.

Minggu lalu, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 untuk melindungi kanak-kanak daripada jenayah itu dengan lebih berkesan.

Pindaan itu termasuk memperkenalkan peruntukan membenarkan kanak-kanak hadir ke mahkamah sebagai saksi, dan juga menaikkan umur saksi kanak-kanak dari 16 kepada 18 tahun.

Pindaan itu juga membenarkan pendakwaan bukan sahaja terhadap mereka yang melihat atau terlibat aktiviti seksual terhadap kanak-kanak dalam talian, malah melibatkan “orang tengah dan sindiket” yang menganjur dan mengedarkan kandungan seperti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.