Liwat: Jangan tuduh tanpa lihat sendiri, kata Johari

Liwat: Jangan tuduh tanpa lihat sendiri, kata Johari

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menasihati Ahli Parlimen jangan melemparkan tuduhan tanpa melihat sendiri apa yang berlaku.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata apa dibangkitkan Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh pada 28 Mac lalu terhadap Anwar Ibrahim berdasarkan fakta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengingatkan semua Ahli Parlimen beragama Islam tidak melemparkan tuduhan tanpa melihat sendiri apa yang berlaku, susulan perkataan “liwat” berulang kali dibangkit seorang Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata demikian selepas Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengemukakan peraturan mesyuarat berkaitan “serangan jahat” mengenai perkataan “liwat” diungkit Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) bertujuan mengaibkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin menasihati ahli yang berhormat khususnya orang Islam…kita tahu apa hukum menuduh orang tanpa melihat sendiri apa yang berlaku.

“Jadi, saya haraplah yang berhormat orang Islam, dalam ini orang Islam, anak-anak yang menonton televisyen pun orang Islam.

“Apa hukumnya kalau kita tidak melihat perkara itu dengan mata kepala kita…janganlah kita ulangi,” katanya.

Sebelum itu, Lim berkata perkataan tersebut seringkali diulang di Dewan Rakyat dan itu adalah perkara serius.

“Apakah keputusan dibuat mengenai perkara lalu (minggu lalu) selepas Besut mengungkit berkali-kali yang ternyata satu serangan jahat.

“Kes liwat berkaitan yang berhormat Tambun, pengampunan penuh sudah diberikan Yang di-Pertuan Agong, lebih baik pihak pembangkang bersikap lebih bertanggungjawab dan tidak mengungkit perkara ini yang sudah diselesaikan,” katanya.

Lim berkata, tindakan tersebut tidak boleh dijadikan mainan di Dewan Rakyat kerana perkara itu serius dan ingin mengaibkan Ahli Dewan Rakyat.

Terdahulu, Johari berkata, apa dibangkitkan Zulkifly pada 28 Mac lalu terhadap Anwar berdasarkan fakta dan ia bukan penghinaan di Dewan Rakyat.

“Saya telah menjawab kepada Besut, bahawa apa dibangkit Besut itu cuma menyatakan dia tak ulas…dia merujuk kepada fakta.

“…dan jawapan telah diberi kepada Besut bahawa kita anggap itu bukan satu penghinaan, ia cuma menyatakan kepada fakta dan fakta itu ada, saya terpaksa berlaku adil,” katanya.

Minggu lalu Zulkifly didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung kes liwat dan beliau merujuk perkara itu kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.