Mas Ermieyati pengerusi PAC baharu

Mas Ermieyati pengerusi PAC baharu

Ahli Parlimen Masjid Tanah daripada PN itu dicadang perdana menteri sebagai pengerusi manakala Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi daripada PH naib pengerusi.

Ahli Parlimen Masjid Tanah daripada Perikatan Nasional Mas Ermieyati Samsudin dilantik sebagai pengerusi PAC yang baharu.
KUALA LUMPUR:
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dipilih sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Beliau menggantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, yang menyandang jawatan itu sebelum ini.

Mas Ermieyati menjadi wanita kedua dilantik memegang jawatan itu selepas Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) dari April 2019 hingga Mac 2020.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengusulkan pemilihan itu di Dewan Rakyat turut menamakan Wong Shu Qi (PH-Kluang) sebagai naib pengerusi.

Jawatan naib pengerusi PAC sebelum ini disandang bekas Ahli Parlimen Beaufort Azizah Dun.

Usul itu diterima sebulat suara oleh Ahli Dewan Rakyat.

Terdahulu, menurut Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat hari ini, perdana menteri akan mencadangkan calon bagi lantikan berkenaan.

Pelantikan itu sebagai meneruskan amalan lantikan pengerusi PAC dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang seperti dalam pentadbiran kerajaan terdahulu, yang mana jawatan berkenaan terdahulu disandang Kah Woh daripada PH.

PAC ialah jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada ketua audit negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.

Ia akan dianggotai antara enam hingga 12 ahli yang akan dicalon oleh jawatankuasa pemilihan yang akan ditubuhkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.