
Manjeet Singh Dhillon, 80, menuntut HSBC Bank Malaysia membayar semula jumlah sama yang didakwa berlaku akibat pengeluaran secara penipuan.
Bekas presiden Majlis Peguam itu memohon ganti rugi khas RM200,000 dan ganti rugi am kerana mengalami tekanan, sakit, dan kebimbangan kesan pengeluaran penipuan berkenaan.
Manjeet yang memfailkan saman di Mahkamah Sesyen di sini, pada 28 Mac, berkata beliau dan bekas isteri mempunyai akaun bersama dengan HSBC, sejak 2005.

Dalam pernyataan tuntutan, Manjeet berkata, beliau merupakan “pemegang akaun premier” dengan defendan di Malaysia dan gabungannya di India, Singapura, dan United Kingdom, yang mana menyediakan perkhidmatan nilai tambah.
Beliau berkata, pada 2 Jan tahun lalu, beliau membuka satu lagi akaun bebas dengan bank tersebut, yang mana berasingan dengan akaun bersama.
Manjeet berkata, beliau mendepositkan RM200,000 dalam akaun baharunya itu dan jumlah wang terbabit adalah deposit minimum untuk mengekalkan akaun premier.
Katanya, tiada transaksi dilakukan terhadap akaun baharu itu demi memastikan jumlah RM200,000 tersedia.
Sehingga September tahun lalu, jumlah berkenaan, termasuk faedah, berjumlah RM205,628.50.
Manjeet berkata, beliau membuat dua transaksi kecil antara 2 dan 3 Okt berjumlah RM227 demi memastikan akaun terbabit aktif, seperti dikehendaki defendan.
Beliau berkata, bank kemudian menaikkan had pengeluaran dalam talian akaun miliknya tanpa kebenaran.
Pada 14 Okt, dalam tempoh 20 minit (antara 2.31 dan 2.51 petang), pihak bank membenarkan 12 transaksi penipuan keseluruhan RM200,000, dakwanya.
Selepas berlakunya transaksi penipuan itu, pihak bank menghantar pemakluman pengeluaran wang menerusi pesanan teks.
Manjeet berkata, ia juga merupakan kali pertama beliau diberi maklum oleh pihak bank berhubung transaksi penipuan berkenaan.
Plaintif berkata, beliau mengambil pendirian bahawa pihak bank tidak mendapat kebenarannya melibatkan transaksi penipuan seperti disebut memandangkan bank tidak menghantar TAC (kod pengesahan transaksi).
Manjeet berkata, beliau tidak mempunyai hubungan mahupun pengetahuan dengan penerima wang yang mengeluarkan sejumlah wang terbabit.
Beliau berkata, pihak bank sehingga kini gagal atau mengemukakan maklum balas terhadap surat tuntutannya.
Manjeet berkata, bank mempunyai tanggungjawab melindungi pemindahan wang dari akaunnya, namun cuai.