Kementah nilai tindakan, ganti rugi batal kontrak peluru berpandu

Kementah nilai tindakan, ganti rugi batal kontrak peluru berpandu

Ini kerana kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin, kerajaan telah bayar hampir 95% daripada nilai keseluruhan kontrak lebih RM500 juta.

khaled nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata sebuah lagi jawatankuasa ditubuhkan bagi meneliti pilihan sistem sesuai dan boleh dibekalkan dalam tempoh segera. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai tindakan undang-undang serta jumlah ganti rugi yang akan dituntut daripada syarikat pembekal susulan pembatalan kontrak pembelian sistem peluru berpandu antikapal (NSM).

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata tindakan itu dibuat memandangkan kerajaan telah menjelaskan hampir 95% daripada nilai keseluruhan kontrak lebih RM500 juta.

“Jawatankuasa khas peringkat kementerian telah ditubuhkan untuk memperincikan tuntutan yang bukan sekadar melibatkan pemulangan bayaran asal, tetapi juga ganti rugi akibat pelanggaran kontrak berkenaan,” katanya selepas Program Prowira Ready-to-Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Beliau berkata, kementeriannya sedang membuat perkiraan bagi menuntut semula bayaran dibuat, selain kerugian lain yang timbul akibat pembatalan kontrak itu.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa lain turut ditubuhkan bagi meneliti sistem sesuai menggantikan NSM dan boleh dibekalkan dalam tempoh segera.

Jelasnya, proses itu tidak mudah kerana sistem peluru berpandu perlu serasi dengan sistem komunikasi, elektrik dan operasi sedia ada pada kapal.

Katanya, proses integrasi sistem baharu dijangka mengambil beberapa bulan.

Bagaimanapun, tegasnya, pembatalan pembekalan NSM tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) pertama, KD Maharajalela kepada Tentera Laut Diraja Malaysia pada Disember ini.

“Program LCS tetap diteruskan, cuma kapal itu tidak akan dilengkapi sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan pada peringkat awal.”

Menurut laman web Kongsberg Defence & Aerospace, kontrak perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan syarikat itu pada April 2018 dengan nilai €124 juta (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.