Umno N Sembilan minta tambah kerusi, PH akan bincang

Umno N Sembilan minta tambah kerusi, PH akan bincang

Aminuddin Harun berkata keputusan seterusnya akan dibuat Majlis Presiden PH dalam tempoh sebulan lagi.

Pada 5 April lalu, Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias meminta tambahan dua kerusi DUN daripada PH dalam PRN nanti. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Permintaan Umno Negeri Sembilan supaya diberikan tambahan kerusi DUN dalam pilihan raya negeri (PRN) akan dibincangkan di peringkat Pakatan Harapan (PH) negeri itu.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata keputusan seterusnya akan dibuat Majlis Presiden PH dijangka mengambil masa sebulan lagi.

“Pertemuan itu (dengan Umno) memang telah berlaku, Alhamdulillah berjalan dengan baik, ada persefahaman munasabah.

“Biasalah dalam perbincangan ada permohonan dikemukakan. Saya akan membawa perkara tersebut untuk pertimbangan rakan dalam PH,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Jualan Rahmah Peringkat Negeri Sembilan.

Dua hari lalu, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan awal dengan PH negeri bagi mencari persefahaman selain turut meminta diberikan tambahan dua kerusi DUN dalam PRN nanti.

Aminuddin yang juga menteri besar Negeri Sembilan berkata, kerjasama antara PH dan BN di negeri itu semakin kukuh khususnya selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Sembilan di Kompleks Pentadbiran dan Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Jelebu, semalam.

“Ia menggambarkan kerjasama mula terjalin, saya yakin ia akan dapat diperkuatkan lagi melalui agenda jentera pilihan raya dan hubungan di peringkat akar umbi kedua-dua parti,” katanya.

Pada PRU14, Barisan Nasional (BN) memenangi 16 kerusi DUN manakala PH memenangi 20 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.