
Anwar berkata tidak ada konflik kepentingan dalam perkara itu kerana keputusan muktamad untuk memberi pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
“Tiada konflik kepentingan (di pihak saya). Proses (pengampunan) perlu diikuti dan keputusan muktamad adalah atas budi bicara Agong,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di sini.
Anwar berkata adalah terlalu awal untuk mengulas permohonan pengampunan Najib Razak kerana baru semalam Umno memohon Agong mempertimbangkan untuk mengampunkan bekas perdana menteri itu.
Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan parti itu telah memohon Agong mempertimbangkan untuk memberi pengampunan kepada Najib.
Dalam satu kenyataan, beliau juga berkata Majlis Kerja Tertinggi Umno akan memohon menghadap bagi mempersembahkan memorandum berhubung perkara itu.
Asyraf berkata memorandum itu diserahkan kepada pucuk pimpinan oleh 191 bahagian Umno dan turut ditandatangani oleh MKT serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri semua 191 bahagian.
Naib Presiden Umno Khaled Nordin kemudiannya berkata permohonan parti itu kepada Agong bagi memberi pertimbangan pengampunan kepada Najib tidak akan menjejaskan hubungannya dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti lain dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata parti berkenaan hanya mahu menunjukkan penghargaannya kepada bekas perdana menteri itu yang memerintah negara selama sembilan tahun sebelum Barisan Nasional tumbang pada PRU 2018.
Terdahulu hari ini, Hassan Abdul Karim dari PKR turut berkata keputusan Umno untuk membuat permohonan itu tidak akan meretakkan hubungan kerajaan perpaduan kerana ia kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata ia “tidak relevan” untuk mempersoalkan sama ada Anwar, sebagai perdana menteri, menghadapi dilema mengenai perkara itu.
Beliau berkata Anwar tidak boleh dipersalahkan sekiranya proses pengampunan itu lambat dan jika pengampunan itu diberikan atau ditolak kerana terpulang kepada Agong untuk membuat keputusan.
Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang berhubung RM42 juta dana SRC.
Isnin lalu, Najib dilaporkan berkata, beliau akan menggunakan penghakiman menentang oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Rahman Sebli bagi menyokong permohonan pengampunan dirajanya.
Pada 31 Mac, Rahman mengeluarkan penghakiman minoriti setebal 78 muka surat, yang menyatakan Najib tidak mempunyai representasi undang-undang apabila panel Mahkamah Persekutuan mendengar dan menolak rayuannya dalam kes rasuah SRC International.
Rahman yang juga Hakim Besar Sabah dan Sarawak adalah salah seorang lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan Najib untuk menyemak semula rayuannya dalam kes SRC. Empat hakim lain tidak menemui alasan untuk membebaskan Najib.