
“Apabila ditangguhkan, rakyat akan bertambah marah seterusnya memberi kelebihan dan menguntungkan PN,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, ia akan memberi imej “tidak manis” bagi seorang pemimpin negara untuk naik turun mahkamah bagi menghadapi pertuduhan jika kes membabitkan timbalan perdana menteri itu masih diteruskan.
“Saya dulu jadi orang pertama yang minta agar kes Zahid ini ditangguhkan sehingga beliau tamat menjadi timbalan perdana menteri, orang Umno tak minta pun.
“Sebab tak manis bagi seorang pemimpin negara untuk didakwa di mahkamah,” katanya.
Pada 10 April, media melaporkan perbicaraan rasuah Zahid yang kini di peringkat pembelaan di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan ke Ogos untuk membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan hanya boleh mempertimbangkan representasi Zahid selepas hasil siasatan SPRM.
Zahid didakwa atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk pelbagai projek sepanjang menjadi menteri dalam negeri, antara 2013 dan 2018.
Dua belas daripada pertuduhan adalah untuk CBT, lapan untuk rasuah, dan baki 27 untuk pengubahan wang haram.