Apa yang anda perlu tahu tentang Lembaga Pengampunan

Apa yang anda perlu tahu tentang Lembaga Pengampunan

Lembaga itu terdiri daripada lima ahli, iaitu peguam negara, ketua menteri atau menteri besar, dan maksimum tiga yang lain dilantik oleh Agong atau pemerintah negeri.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini menolak permohonan bekas PM Najib Razak agar sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes SRC International disemak semula.
PETALING JAYA:
Umno mendesak agar bekas presidennya, Najib Razak, diberikan pengampunan diraja selepas usaha beliau mendapatkan sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes SRC International disemak semula terkandas.

Bekas perdana menteri itu, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun, berhasrat menggunakan penghakiman bertentangan dalam keputusan permohonan semakan semula itu untuk pengampunan.

FMT melihat Lembaga Pengampunan dan peranannya.

Undang-undang dan Lembaga Pengampunan

Setiap negeri mempunyai Lembaga Pengampunan sendiri, dilantik sama ada oleh sultan atau Yang di-Pertua Negeri, kecuali Wilayah Persekutuan.

Bagi Wilayah Persekutuan, anggota Lembaga Pengampunannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerana Wilayah Persekutuan berada bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.

Siapakah anggota lembaga?

Lembaga Pengampunan terdiri daripada lima ahli, iaitu peguam negara, ketua menteri atau menteri besar, dan maksimum tiga ahli lain yang dilantik oleh Agong atau pemerintah negeri.

Walaupun ahlinya tidak ditetapkan secara khusus, Perkara 42(7) Perlembagaan menetapkan bahawa Ahli Parlimen atau wakil rakyat tidak dibenarkan menganggotai lembaga itu.

Ahli yang dilantik hanya boleh berkhidmat selama tiga tahun, walaupun mereka boleh dilantik semula ke oleh Agong atau pemerintah negeri.

Bagaimanapun, identiti mereka yang dilantik ke lembaga itu dirahsiakan.

Apakah tugas ahli Lembaga Pengampunan?

Menurut sumber, ahli lembaga akan bertemu untuk membincangkan permohonan pengampunan oleh banduan.

Sumber itu, yang tidak mahu dinamakan berkata, peguam negara akan membentangkan permohonan banduan terbabit terlebih dahulu pada mesyuarat lembaga, yang hanya boleh dipengerusikan dengan kehadiran Agong atau pemerintah negeri. Menurut Perlembagaan, Agong hanya “mempengerusikannya”.

Ahli-ahli kemudiannya akan memberikan pandangan mengenai pemberian pengampunan selepas mengambil kira pandangan peguam negara.

Perkara lain yang perlu diketahui

Philip Koh, profesor adjung di Universiti Malaya dan Universiti Monash Malaysia berkata, perbincangan dan proses keputusan lembaga itu adalah rahsia.

“Dalam sistem raja berperlembagaan, Agong tidak boleh terjebak dalam kancah politik melibatkan kontroversi mengenai pengampunan,” katanya.

Koh juga berkata, sama ada wajaran diberikan bagi penghakiman bertentangan atau sebarang pandangan adalah bawah bidang kuasa lembaga itu.

Peguam negara mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan, termasuk minoriti yang menentang.

“Pertimbangan juga mesti diberikan terhadap fakta bahawa pelaksanaan pengampunan diraja tidak boleh dicemari oleh kontroversi dan menjejaskan keabsahan undang-undang dan moral majoriti hakim yang berpendapat bahawa sabitan itu dibuat secara sah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.