Ramasamy tak faham sentimen pengundi Melayu terhadap PN, kata Faizal Azumu

Ramasamy tak faham sentimen pengundi Melayu terhadap PN, kata Faizal Azumu

Timbalan Presiden Bersatu membalas kenyataan P Ramasamy mengenai gelombang hijau semakin berkurang menjelang PRN.

Ahmad Faizal Azumu menepis dakwaan P Ramasamy mengenai gelombang hijau hanya pengaruh sementara dalam keadaan politik dan sosial semasa.
KUALA LUMPUR:
Isu sama ada sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) merosot atau sebaliknya tidak perlu dibangkit, kata Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau enggan mengulas berhubung pihak tidak memahami sentimen sebenar pengundi Melayu terhadap PN.

“Kalau orang bercakap berkawan dengan orang Melayu pun tidak, mana dia tahu sentimen dalam kalangan orang Melayu.

“Pandangan orang seperti itu tidak perlu diperbincangkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Faizal berkata demikian ketika mengulas dakwaan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, bahawa istilah ‘gelombang hijau’ dikaitkan dengan pengaruh PN pasca PRU15 semakin berkurangan menjelang enam PRN dijangka Ogos ini.

Memberikan lapan faktor kemerosotan itu, Ramasamy berkata, gelombang hijau sinonim dengan PAS dan Bersatu mungkin hanya pengaruh sementara yang ‘tersejat’ dalam keadaan politik dan sosial semasa.

Dalam pada itu, Faizal berkata, PN Pulau Pinang akan terus berusaha mendapatkan sokongan rakyat bagi menubuhkan kerajaan mewakili semua kaum di negeri itu.

Katanya, DAP tentu berasa selesa dengan sokongan Umno kepada mereka, namun PN akan tetap memberikan saingan.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Takiyuddin Ismail, berpandangan kenyataan Ramasamy hanya perang saraf menjelang PRN.

“Saya tidak pasti mengapa beliau beriya-iya mengeluarkan ‘lapan dalil’ ini.

“Sebagai bekas saintis politik, beliau patut lebih tahu politik Malaysia semakin sukar diramal sejak sedekad lalu,” katanya.

Tambahnya, meramalkan sesuatu seperti kemerosotan PN adalah tidak berasas kerana tiada sesiapa boleh mengetahui atau melihat arus di bawahnya.

Beliau tidak yakin pengaruh PN sudah merosot, malah ada kemungkinan ia bertambah kuat kerana sentimen ketidakpuasan berganda terhadap Umno-Pakatan Harapan (PH) yang kini semacam ‘membuli’ gabungan itu.

“Kerap kali pengundi menyokong PN bukan kerana menyokong Bersatu atau PAS tetapi lebih kepada tidak sukakan PH atau Umno.

“Ramasamy perlu lebih berhati-hati dengan mendakwa PN menggunakan sentimen agama dan perkauman melampau kerana menepuk air di dulang, boleh terpercik ke muka sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.