
Menteri Dalam Negeri Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya menjunjung kasih keprihatinan Yang di-Pertua Agong terhadap nasib dan kebajikan pegawai Kedutaan Besar Malaysia dan rakyat Malaysia di negara itu susulan krisis yang sedang berlaku.
Katanya, ketika ini keadaan di Sudan masih lagi tegang yang mana pertempuran di antara dua pihak bertelagah dilaporkan masih sengit, khususnya di kawasan strategik Khartoum.
Beliau berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum masih belum dibuka dan menyukarkan peracangan membawa keluar rakyat asing dari pelbagai negara, termasuk Malaysia.
“Wisma Putra juga telah berhubung dengan beberapa buah negara sahabat seperti Arab Saudi, Turki, Qatar, UAE, China, Amerika Syarikat, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu proses membawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan sebaik keadaan mengizinkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Wisma Putra telah mengaktifkan ‘Operasi Sudan’ yang bertugas 24 jam sejak krisis berlaku.
“Pada masa ini, Pasukan Khas Operasi Sudan yang turut disertai oleh beberapa agensi kerajaan telah membuat persiapan dan perancangan rapi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Sudan dipelihara,” katanya.
Beliau berkata, pasukan khas itu juga sedang berhubung rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengenai kaedah yang paling selamat untuk menambah bekalan keperluan asas, khususnya makanan dan ubat-ubatan.
“Situasi di Sudan terlalu kompleks. Ini melibatkan perbalahan politik di antara dua pihak utama Transitional Sovereignty Council. Berdasarkan laporan yang diterima, kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat untuk menamatkan
pertempuran bersenjata yang telah meletus sejak dua hari yang lepas,” katanya.