
Khairy berkata, mengeksport ketum keluaran tempatan ke negara seperti Amerika Syarikat yang didakwanya mempunyai industri ketum berbilion dolar – membantu Putrajaya menjana pendapatan, berbanding memusnahkan tanaman itu.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mencadangkan kerajaan menubuhkan ‘Lembaga Ketum’ bagi memastikan ketum dikeluarkan secara tempatan oleh pekebun kecil dikawal selia bagi tujuan eksport sahaja.
“Memandangkan negara lain membenarkan penggunaan ketum, saya tidak nampak sebarang masalah untuk kita mengeksportnya. Kita menetapkan prosedur ketat, seperti hanya membenarkan ‘Lembaga Ketum’ membeli dan memproses untuk dieksport.
“Pekebun kecil boleh menjual produk mereka dan menjana pendapatan tambahan setiap bulan dan bukannya ditangkap polis (kerana memiliki daun ketum),” katanya menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’.
Khairy menambah, kajian mengenai penggunaan ketum untuk tujuan perubatan telah dilakukan semasa beliau menjadi menteri kesihatan.
Menjadi kesalahan memiliki daun ketum atau minuman ketum kerana ia mengandungi mitragynine, yang disenaraikan sebagai bahan terkawal di bawah Akta Racun.
Julai tahun lalu, kerajaan Kedah menyiapkan kertas cadangan eksport daun ketum untuk tujuan perubatan ke Thailand.
Menteri Besar Sanusi Md Nor, mencadangkan Putrajaya membenarkan eksport daun ketum khususnya ke Thailand bagi tujuan perubatan sebagai langkah mengekang penyeludupan tanaman itu.
Pada Januari, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata kerajaan akan membincangkan penggunaan ganja dan ketum untuk tujuan perubatan jika dibenarkan dari segi undang-undang, terutamanya dalam mengawal penanaman tanaman itu.