Wanita warga asing antara 4 ditahan dengan dadah RM2 juta

Wanita warga asing antara 4 ditahan dengan dadah RM2 juta

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata Penahanan dan rampasan itu dilakukan dalam dua serbuan di sekitar Georgetown.

Antara dadah bernilai RM2 juta yang dirampas dalam dua serbuan polis Pulau Pinang. (Gambar IPK Pulau Pinang)
GEORGE TOWN:
Polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing serta merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM 2 juta dalam dua serbuan di sekitar bandar raya ini, antara 1 petang semalam hingga 2 pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata dalam serbuan pertama sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang dilakukan hasil maklumat dan risikan itu, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita asing dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ ditahan.

“Hasil soal siasat telah membawa polis ke sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan yang sama dan pemeriksaan menemukan sebuah beg berzip yang di dalamnya terdapat lima plastik berwarna hijau, hitam dan biru mengandungi 156 peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggarkan seberat 2,507 gram.

“Turut dirampas beg berwarna kuning mengandungi 118 peket plastik serbuk disyaki MDMA seberat 2,323 gram, beg berzip bertulis ‘Blackout’ berisi 64 peket plastik bertulis ‘Cadbury’ disyaki MDMA seberat 2,140 gram, serta beg berzip berwarna putih mengandungi 203 peket plastik putih dan hijau disyaki MDMA seberat 2,723 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata polis turut menemui sebuah kotak bertulis ‘Tang’ yang mengandungi 120 peket plastik bertulis ‘Lychee’, masing-masing berisi serbuk disyaki MDMA dengan anggaran berat keseluruhan 2,458 gram.

Azizee memaklumkan rampasan lain melibatkan 41 peket plastik berisi serbuk putih disyaki ketamin seberat 51.40 gram, satu peket plastik lut sinar mengandungi 30 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi seberat 12.60 gram serta satu papan aluminium foil berisi 10 biji pil disyaki Erimin 5 seberat 3.30 gram.

Beliau berkata hasil soal siasat lanjut ke atas suspek membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan yang merupakan rakan sejenayah yang turut berperanan sebagai ‘runner’ di sekitar George Town.

“Hasil risikan mendapati sindiket ini aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Julai tahun lepas dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan lebih 50,000 orang,” katanya.

Beliau berkata saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah dan semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah serta dadah.

Semua suspek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.