
Katanya, penangguhan selama enam bulan diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 17 Dis lalu bagi membolehkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat persediaan dengan menubuhkan mekanisme merangkumi pendidikan awam dan pelaksanaan undang-undang itu.
“Kedua-dua majlis bandaraya akan menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji mekanisme pengeluaran saman mengikut kesalahan serta perkara lain,” katanya di luar majlis angkat sumpah ahli MBSP bagi penggal 2026 di Kompleks MBSP di Bandar Perda, di sini.
Penalti lebih berat di bawah pindaan beberapa akta, termasuk Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) memperuntukkan denda sehingga RM2,000 bagi kesalahan pertama serta khidmat masyarakat mandatori sehingga 12 jam.
Pesalah juga mungkin diarah membersihkan kawasan awam dengan memakai ves khas. Kadar denda dinaikkan sehingga maksimum RM10,000 jika gagal mematuhi arahan khidmat masyarakat atau perintah mahkamah.
Projek LRT: Pemindahan gerai sedang dijalankan
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pemindahan gerai terjejas akibat pembinaan projek LRT Laluan Mutiara yang pertama di negeri itu sedang dijalankan.
Menurutnya, kontraktor hanya akan memulakan kerja di kawasan yang halangannya diatasi.
“Di kawasan dengan proses pemindahan masih berlangsung, mereka (kontraktor) perlu melaksanakan kerja lain atau menunggu.
“Pemindahan dan pembinaan kemudahan baharu untuk menempatkan gerai sedang dijalankan buat sementara waktu,” katanya pada sidang media sama.
Mengenai bantahan pemilik gerai dan perniagaan, Chow berkata, pemilik terbabit faham Laluan Mutiara adalah projek awam, jadi premis mereka perlu dipindahkan.
Beliau berkata, pemilik terjejas sedia bekerjasama apabila kemudahan baharu disediakan untuk mereka.
“Jika mereka berpindah ke kemudahan yang dibina dengan baik, mereka juga akan diberikan lesen diperlukan.”
Kerja pembinaan utama projek LRT itu akan dimulakan tahun ini.